|
Pada 9 September 2009, Adik Nik Nur Madihah Bt Nik Mohd Kamal, Penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM Malaysia 2008 telah menjadi tetamu khas Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (AZIM). Beliau merupakan pelajar terbaik SPM 2008 setelah berjaya mendapat keputusan cemerlang iaitu sebanyak 20A.
En Nik Mohd Kamal bin Husin serta Pn Mariyani binti Omar, iaitu ayah dan ibu kepada Nik Nur Madihah telah menemani beliau di dalam lawatan ke Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (AZIM). Mereka tidak lokek untuk berkongsi pengalaman, rahsia kejayaan serta amalan-amalan seharian untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur dengan kurniaan dan nikmat yang diberi. Biarpun kehidupan mereka anak beranak tidak senang namun mereka tetap merupakan keluarga yang berjaya, bahagia dan kaya dengan kasih sayang. Pada hari yang sama juga Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (AZIM) telah menerima kunjungan Datuk Bandar Bethalia, Gaza Palestin iaitu Sheikh Al-Akh Izzuddin. Beliau turut berkongsi pengalaman saudara-saudara kita yang berada di tengah-tengah kemelut peperangan di Gaza, namun tidak pernah luntur semangat juang mereka demi kebenaran Islam malahan semakin memuncak biarpun dengan sekatan bantuan makanan dan perubatan yang dilakukan oleh rejim Israel yang zalim. Pada perjumpaan itu juga, telah diadakan sesi soal jawab dengan kedua-dua tetamu tersebut di AMPAC. Tujuannya ialah agar warga Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (AZIM) dan pelajar AMPAC dapat memahami dengan lebih lanjut kehidupan, pengalaman, kepayahan dan yang terutama semangat juang yang tinggi penduduk GAZA dan perjuangan Nik Nur Madihah sendiri untuk menjadi pelajar terbaik Malaysia. Di akhir pertemuan itu, Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (AZIM) En Abdul Rahman Mt Dali telah menyerahkan cek bernilai RM40,000, iaitu sebahagian daripada hasil kutipan amal yang dianjurkan oleh warga Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (AZIM) bagi membantu membina Klinik Kesihatan di Gaza serta cenderahati kepada Nik Nur Madihah serta ibubapanya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa dan berkongsi informasi berharga bersama-sama warga Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah (AZIM).
|