Skip to content

Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah

English | Malay

Cergas, cantik dan sihat
Artikel Akhbar
Rabu, 10 Jun 2009 12:59

SATU destinasi perhentian golongan feminin. Begitulah konsep yang diketengahkan di Pusat Kesihatan Wanita Az-Zahrah, bertempat di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Merupakan anak syarikat Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, kelas kecergasan ini ditubuhkan khusus untuk golongan wanita berusia 18 tahun ke atas sahaja. Sama ada wanita bekerjaya mahupun suri rumah tangga, ia menjanjikan pengalaman dan perubahan terbaik pada diri.

"Cantik adalah satu perkataan magis bagi setiap wanita sejak dahulu lagi. Katakanlah apa-apa perkara yang melibatkan kecantikan, pasti merekalah insan pertama yang akan memberi perhatian," ujar Pengurus pusat rawatan ini, Raja Badariah Raja Hasbullah, 43, menjelaskan mengenai objektif penubuhan pusat tersebut.

Pusat Kesihatan Wanita Az-Zahrah bukan sahaja mengetengahkan pakej kecergasan khas untuk golongan wanita, malah berkongsi tip-tip diet yang seimbang.

Berpengalaman selama 14 tahun dalam dunia kecergasan, Badariah berkata, pusat kesihatan itu bukan sahaja menempatkan sesi senamrobik dan gimnasium, malah turut menyediakan pakej spa dan rawatan rambut berasaskan produk tradisional masyarakat India.

"Di sini, kami mengetengahkan sesi rawatan berasaskan aspek perubatan di bawah satu bumbung. Ini bermakna, sebelum satu sesi dijalankan, contohnya senamrobik mahupun ingin memanjakan diri di spa, kami akan bertanyakan latar belakang kesihatan pengunjung berkenaan.

"Sekiranya dia menghidap sebarang penyakit seperti kencing manis atau obesiti, kami akan merangka pelan penyelesaian masalah kesihatan, selain menasihati agar berjumpa doktor sebelum mendapatkan pakej kecergasan.

"Selain itu, kami juga menyediakan tip-tip diet yang ideal dan berkongsi penyediaan dan pemilihan menu secara bijak," jelasnya kepada Kosmo! di pusat rawatan tersebut, baru-baru ini.

Kepentingan seorang wanita dalam melakukan kecergasan jelasnya bukan sahaja ingin kelihatan cantik, malah dianggap satu seni kecergasan diri. Faktor itulah membuatkan beliau memfokus khas untuk wanita sahaja.

Menyentuh mengenai kebaikan bersenam dalam kehidupan harian, Badariah, berkata, senaman perlu dijadikan rutin harian dalam kehidupan kini. Ia penting bukan sahaja untuk wanita, malah lelaki juga harus mempraktikkannya.

"Masih ramai menganggap kehadiran ke pusat kecergasan atau ke gimnasium sesuai dikunjungi kumpulan bekerjaya. Malah ada juga menganggap, aktiviti kecergasan sepatutnya dilakukan oleh mereka yang ingin mendapatkan bentuk badan yang cantik.

"Stigma sebegitu sepatutnya dikikis memandangkan golongan suri rumah juga mempunyai kepentingan untuk melakukan senaman dan berkunjung ke pusat kecergasan.

"Jangan jadikan alasan tiada tempat bagi melakukan senaman atau memerlukan wang yang banyak untuk mengunjungi pusat kecergasan,"ujarnya.

Katanya, kewujudan taman-taman rekreasi yang menempatkan peralatan bersenam secara percuma dan laluan untuk berjoging kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Ibu kepada empat cahaya mata ini juga berkata, bersenam adalah amalan yang penting kerana ia menjamin kesihatan diri yang berpanjangan, sekali gus mengelakkan kehadiran sebarang penyakit.

Berbincang mengenai kebaikan mengamalkan aktiviti bersenam, beliau berkata, tidak kira apa juga jenis senaman yang dilakukan, aktiviti itu dapat membantu melancarkan kehidupan harian.

"Contohnya, kita dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih terurus, tanpa sebarang gangguan atau stres.

"Bukan itu sahaja, kelebihannya juga dapat dilihat apabila kita mempunyai stamina dalam melakukan segala tugasan atau kerja rumah yang harus dilaksanakan.

"Sekiranya wanita menjadikan amalan kecergasan itu sebahagian daripada rutin hidupnya, ia bukan sahaja meningkatkan stamina badan, malah dapat memperbaiki hubungan bersama suami," katanya.

Menurutnya, hubungan intim bukan hanya terjalin menerusi cara layanan mahupun komunikasi yang baik, malah dalam bentuk penjagaan kesihatan diri setiap pasangan. Paling penting, katanya, kekerapan seorang wanita melakukan senaman ialah tiga kali seminggu.

Sementara itu, instruktor kecergasan, Rafidah Othman, 37, berkata, selain memanjakan diri di spa, seseorang wanita seharusnya mengamalkan aktiviti kecergasan. Tidak kira melakukan senamrobik, menari balet ataupun berenang.

"Banyak kebaikan yang diperoleh apabila kita bersenam. Antaranya, hormon wanita akan lebih stabil, kadar metabolisme juga meningkat dan keyakinan diri bertambah.

"Mood kita juga akan bertambah baik untuk menguruskan suami dan anak- anak," katanya.

Tambahnya, masa paling ideal untuk melakukan aktiviti senaman adalah pada waktu pagi dan petang. Ini katanya, suasana pagi memberi ketenangan kepada jiwa. Manakala pada waktu petang pula, kita dapat memberi fokus pada setiap pergerakan yang dilakukan setelah semua kerja selesai.

 

Artikel diterbitkan oleh Kosmo

Share Link: Bookmark Google Yahoo MyWeb Del.icio.us Digg Facebook Myspace Reddit Ma.gnolia Technorati Stumble Upon