OGDS – saringan untuk kanser gastrik

Apakah itu OGDS?

OGDS  (oesophagogastroduodenoscopy) adalah prosedur bagi pemeriksaan pada bahagian atas salur pemakanan pesakit. Ini melibatkan pemeriksaan pada bahagian esofagus, perut dan duodenum. Prosedur OGDS ini melibatkan penggunaan kabel gentian optik yang dipasangkan kamera pada hujungnya dan dimasukkan melalui mulut pesakit.

Apakah indikasi untuk seseorang pesakit itu menjalani prosedur OGDS?

Terdapat pelbagai indikasi bagi seseorang pesakit untuk menjalani ujian OGDS:

  1. Sukar/sakit ketika menelan makanan
  2. Saringan kanser
  3. Muntah berdarah
  4. Sakit terutamanya pada bahagian atas perut
  5. Simptom reflux yang berpanjangan

*Sekiranya anda mempunyai mana-mana simptom di atas, maka disarankan untuk berjumpa dengan doktor peribadi anda.

Mengapakah doktor melakukan ujian OGDS untuk simptom-simptom di atas?

Terdapat pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom-simptom di atas. Antaranya adalah:

  1. Kanser
  2. Pendarahan pada bahagian perut
  3. Hiatus Hernia
  4. Ulser pada bahagian perut/duodenum

*Walaupun dengan simptom-simptom di atas, kebanyakan ujian OGDS adalah normal. Maka anda tidak perlu terlalu risau namun harus berjumpa dengan doktor peribadi anda dan tidak membiarkan simptom tersebut berlarutan.

Adakah anda berisiko untuk kanser kolorektal?

Apakah itu kanser kolorektal?

Kanser kolorektal adalah kanser pada bahagian usus besar (kolon) dan rektum, yang merupakan bahagian terakhir pada saluran usus manusia. Kebanyakan kes kanser kolorektal bermula dengan pertumbuhan tisu kecil yang dikenali sebagai polip. Pada kebiasaannya polip ini adalah kecil dan tidak memberi sebarang simptom kepada pesakit. Oleh sebab itu, kebanyakan doktor menasihatkan pesakit terutamanya yang berisiko tinggi untuk menjalani proses saringan sebelum polip tersebut membesar dan bertukar menjadi kanser. Individu berisiko tinggi ini merujuk kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolon.   

 

Berapakah kadar kanser kolorektal di Malaysia

Kanser kolorektal adalah kanser kedua terbanyak bagi lelaki dan yang ketiga terbanyak bagi wanita di Malaysia. Dianggarkan sebanyak lebih kurang 67 ribu kes baru telah dikesan di Semenanjung Malaysia antara tahun 2003 hingga 2005. Di Malaysia, kebanyakan pesakit kanser kolorektal dikesan dengan agak lambat, menyebabkan prognosis pesakit tersebut menjadi lebih teruk berbanding dengan negara maju di Asia. Antara penyebab kepada masalah ini adalah kerana kurangnya kesedaran terhadap kanser ini dan kadar ujian saringan yang agak rendah.

Apakah ujian saringan yang boleh dilakukan bagi mengesan penyakit kanser kolon ini?

Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai sebarang simptom, terdapat dua kaedah yang biasa dilakukan bagi ujian saringan penyakit ini, iaitu menerusi pengesanan darah dalam sampel najis dan pemeriksaan kolonoskopi. Menerusi ujian awal ini, najis pesakit akan diperiksan dan diuji menggunaan satu kaedah khas. Jika keputusannya positif (bermaksud terdapat darah di dalam najis), maka pesakit ini akan dirujuk ke pakar pembedahan untuk prosedur kolonoskopi.

Apakah langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit ini?

Pengambilan makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, diet yang rendah dengan kalori, tidak merokok dan bersenam secara konsisten dapat mengurangkan risiko kanser kolorektal.

 

Kaum lelaki, jangan ambil mudah kanser prostat

Apakah itu kanser prostat?

Kanser prostat adalah ketumbuhan tidak normal yang bermula dalam kelenjar prostat. Di Malaysia, pada tahun 2012, dianggarkan lebih 1 juta lelaki di negara ini menghidap penyakit kanser prostat. Kanser ini boleh membesar dengan perlahan sehingga penghidap tidak mengalami sebarang simptom. Walaubagaimanapun, kanser ini boleh membesar dan jika tidak dirawat dengan lebih awal boleh merebak ke tulang belakang dan menyebabkan sakit belakang dan lumpuh. Kanser prostat selalunya menyerang lelaki berusia lebih 50 tahun. Lebih 80 peratus kanser prostat didiagnosis pada umur 65 tahun dan ke atas.

Apakah simptom kanser prostat?
Antara simptom kanser prostat adalah masalah berkaitan kencing seperti sakit ketika kencing, berasa tidak puas, terlalu kerap, tidak lancar, berdarah dan kerap kencing malam. Namun begitu, simptom-simptom ini boleh juga disebabkan penyakit lain yang lebih kerap berlaku seperti jangkitan kuman atau benign prostatic hyperplasia. Adalah dinasihatkan untuk anda berjumpa dengan doktor anda sekiranya mengalami simptom-simptom di atas.

Apakah ujian saringan yang boleh dilakukan bagi mengesan kanser prostat?

Pada peringkat awal, pesakit berkemungkinan tidak mengalami sebarang simptom. Simptom-simptom ini hanya akan muncul apabila kanser ini sudah sampai ke tahap yang lebih serius. Oleh itu, adalah disarankan untuk setiap lelaki yang berumur lebih 50 tahun untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Antara ujian yang boleh dijalankan dengan mudah adalah ujian darah untuk melihat paras Prostate Specific Antigen (PSA). Sekiranya paras PSA ini tinggi, seseorang pesakit perlu membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan sama ada menghidapi kanser atau tidak. Ujian-ujian ini termasuklah ujian ultrasound, CT scan, MRI scan dan biopsi.

Pemeriksaan kesihatan tahunan dan saringan kanser boleh dilakukan di Hospital Az Zahrah bersama doktor pakar perubatan atau pakar bedah am.