Apakah itu kanser kolorektal?
Kanser kolorektal adalah kanser pada bahagian usus besar (kolon) dan rektum, yang merupakan bahagian terakhir pada saluran usus manusia. Kebanyakan kes kanser kolorektal bermula dengan pertumbuhan tisu kecil yang dikenali sebagai polip. Pada kebiasaannya polip ini adalah kecil dan tidak memberi sebarang simptom kepada pesakit. Oleh sebab itu, kebanyakan doktor menasihatkan pesakit terutamanya yang berisiko tinggi untuk menjalani proses saringan sebelum polip tersebut membesar dan bertukar menjadi kanser. Individu berisiko tinggi ini merujuk kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolon.
Berapakah kadar kanser kolorektal di Malaysia
Kanser kolorektal adalah kanser kedua terbanyak bagi lelaki dan yang ketiga terbanyak bagi wanita di Malaysia. Dianggarkan sebanyak lebih kurang 67 ribu kes baru telah dikesan di Semenanjung Malaysia antara tahun 2003 hingga 2005. Di Malaysia, kebanyakan pesakit kanser kolorektal dikesan dengan agak lambat, menyebabkan prognosis pesakit tersebut menjadi lebih teruk berbanding dengan negara maju di Asia. Antara penyebab kepada masalah ini adalah kerana kurangnya kesedaran terhadap kanser ini dan kadar ujian saringan yang agak rendah.
Apakah ujian saringan yang boleh dilakukan bagi mengesan penyakit kanser kolon ini?
Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai sebarang simptom, terdapat dua kaedah yang biasa dilakukan bagi ujian saringan penyakit ini, iaitu menerusi pengesanan darah dalam sampel najis dan pemeriksaan kolonoskopi. Menerusi ujian awal ini, najis pesakit akan diperiksan dan diuji menggunaan satu kaedah khas. Jika keputusannya positif (bermaksud terdapat darah di dalam najis), maka pesakit ini akan dirujuk ke pakar pembedahan untuk prosedur kolonoskopi.
Apakah langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit ini?
Pengambilan makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, diet yang rendah dengan kalori, tidak merokok dan bersenam secara konsisten dapat mengurangkan risiko kanser kolorektal.