Jam baru sahaja menunjukkan dua petang, namun mata terasa amat berat dan fikiran sudah melayang-layang. Berpuluh kali menguap dan berair mata menahan mengantuk. Gula-gula pedas yang dikemam juga sudah habis cair namun rasa mengantuk tetap berdegil tidak mahu hilang. Akhirnya anda tewas dan tertidur dalam mesyuarat jabatan!
Fuh, memang boleh jatuh reputasi bukan? Lebih bahaya jika rasa tersebut muncul sewaktu anda memandu.
Nak kata tidak cukup tidur juga mustahil kerana anda jenis yang masuk tidur awal!
Situasi ini sebenarnya pernah dialami oleh setiap individu! Lebih-lebih lagi selepas berbuka puasa. Walaupun jumlah makanan yang diambil tetap rasa mengantuk itu datang!
Jadi di mana silapnya?
Pertama sekali ketahuilah rasa mengantuk mahupun letih tersebut sememangnya TIDAK NORMAL!
1)Diet anda iaitu apa yang anda makan amat mempengaruhi rasa tersebut
Makanan yang tinggi kandungan karbohidrat seperti roti, nasi, pasta, biskut, pancake dan segala jenis makanan bertepung akan ditukarkan menjadi glukos bila dicerna.
Bila pengambilan glukos terlebih, insulin akan dilepaskan. Rasa mengantuk disebabkan insulin yang tinggi dan hal ini berlaku terutamanya kepada individu yang mempunyai masalah rintangan insulin.
Organ-organ tertentu dalam tubuh kita memerlukan insulin untuk membantu mereka bekerja. Apabila sel-sel organ-organ mereka mempunyai masalah menggunakan insulin, ia dikenali sebagai rintangan insulin.
Dengan pengambilan karbohidrat yang tinggi, insulin yang tinggi dalam tubuh akan mengurangkan paras gula secara mendadak. Apabila kurang gula sampai di bahagian otak, ia akan menyebabkan rasa letih dan mengantuk.
Pengambilan makanan tinggi karbohidrat bersama soda akan memburukkan lagi keadaan.
Kedua disebabkan makanan tersebut tidak mampu dihadamkan dengan sempurna. Secara asasnya, sistem penghadaman akan bekerja ekstra jika makanan yang diambil mempunyai kadar glukosa yang tinggi.
Ataupun ia akan terjadi bila anda makan dalam jumlah yang banyak, jadi tenaga yang diperlukan juga banyak untuk proses pencernaan tersebut.
Semakin banyak makanan yang diambil, semkain sukar pula ia dihadamkan. Hasilnya anda merasa letih, kembung dan sukar untuk fokus.
Jika itu berlaku, pengambilan cuka epal yang ditambah ke dalam makanan atau diambil bersama air suam mampu membantu penghadaman yang lebih optimum.
Bagaimana untuk mengelakkannya?
Lebihkan protein dan salad dalam hidangan
- Untuk mengelakkan rasa mengantuk selepas makan, makanlah secara sederhana. Tidak berlebihan dan terlalu kenyang.
- Cuba ubah diet anda yang hari-hari mesti makan nasi campur, nasi beriyani kepada diet rendah karbohidrat.
- Ambil protein dan salad untuk hidangan tengah hari.Lihat sahaja popeye walaupun hanya makan salad, namun cukup bertenaga!
- Dan paling penting jangan lupa tambahkan lemak baik dalam diet anda kerana kehadiran lemak baik mampu memberi efek kenyang lebih lama dan paling penting “kepuasan” dalam menikmati makanan! Antara sumber lemak baik adalah dari minyak kelapa dara, telur, ikan salmon, kacang seperti walnut, telur dan juga minyak zaitun
- Jila tidak puas, masa itu kita akan “merapu” dalam memilih makanan dan akhirnya kita akan memilih pisang goreng dan kuih muih yang berkalori tinggi.