Selepas 10 tahun melancarkan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI), Hospital Islam Az-Zahrah Bangi (HIAZ) kini mengambil pendekatan serius memperkasakan konsep tersebut dengan memberikan pelbagai dimensi tambahan.
Tidak hanya memfokuskan keperluan seperti kebiasaan hospital lain namun HIAZ bertekad mengutamakan kesejahteraan para pelanggan dipenuhi secara total di mana bukan hanya merawat tubuh namun juga meliputi aspek kerohanian dan memastikan ketenangan jiwa pesakit.
Dalam konteks HMI, pesakit akan diberikan kemudahan dan dibantu untuk melaksanakan ibadah, diransangkan dengan suasana mendekatkan diri dengan Allah SWT tidak kira peringkat mana tahap sakitnya, disamping mendapat rawatan dan sentuhan ramah para perawat dihospital.
Menurut Pengarah Urusan HIAZ, Abdul Rahman Md Dali, pemerkasaan ini suatu hal yang mesti dipandang serius kerana ia adalah projek Islam dan antara misinya ialah untuk mengembalikan keyakinan orang Islam kepada orang Islam.
Abdul Rahman Md Dali, Pengarah Urusan HIAZ
“Ia adalah satu jihad di mana akan mengangkat maruah, kehormatan dan kemuliaan orang Islam.
“Semua staf perlu melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan dengan penuh etika dan teliti, bahkan hingga ke bahagian stor sekalipun perlu memandang serius lonjakan ini.
“Para pekerja di hospital yang mesra ibadah juga perlu berbudi pekerti mulia sentiasa dengan senyuman, sentuhan dan sapaan ramah dan sentiasa ingin membantu.
“Saya juga serius menilai pelaksanaan yang dibuat dan pemantauan serta soal selidik akan dilakukan dari masa ke semasa.
“Konsep ini juga harus melekat di jiwa setiap staf HIAZ dan juga seluruh staf anak syarikat,”tegasnya semasa majlis pemerkasaan yang berlangsung baru-baru ini.
Pada hari yang sama turut dilancarkan Tabung Kebajikan Am Hospital Islam Az-Zahrah bagi pembinaan Yayasan Az-Zahrah untuk membantu pesakit kronik, anak yatim dan ibu tunggal serta membantu kos penyelidikan dan pendidikan dalam melahirkan golongan bijak pandai.