Bandar Baru Bangi, 30 November 2024 – Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ) telah menganjurkan Sambutan Hari Kanak-Kanak yang berlangsung dengan penuh warna-warni dan kegembiraan di perkarangan parkir hospital. Acara ini bermula dari pukul 8:00 pagi hingga 12:00 tengah hari dan menarik perhatian ramai keluarga dari sekitar kawasan Bangi dan Kajang.
Acara utama yang mencuri perhatian ialah Pertandingan Busana Tradisional Melayu bertemakan Mencari Sultan Melaka & Tun Fatimah untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 11 tahun. Kanak-kanak yang menyertai pertandingan ini tampil dengan pakaian tradisional yang kreatif dan menawan, mempamerkan keunikan budaya Melayu.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, termasuk:
- Pertandingan Seni Silat
- Pertandingan Mewarna
- Bouncy Castle dan Badut
- Pelbagai Booth Jualan
Turut berlangsung adalah pemeriksaan kesihatan seperti:
- Saringan Pakar ENT
- Saringan Kesihatan Mental & Perkembangan Kanak-Kanak
- Saringan Audiologi
- Suntikan Vaksin Influenza
Program ini dirasmikan oleh Dr. Nik Rosenorleyaney Bt. Nik Ibrahim, Pakar kanak-kanak dengan pukulan gong sebanyak 3 kali.
Seterusnya, pada program ini pihak hospital turut membuat pelancaran perkhidmatan kesihatan, iaitu Newborn Hearing Screening yang dirasmikan oleh Dr. Khadijah Binti Mohd Nor, Pakar Otorinolaringologi [E.N.T]. Perkhidmatan ini bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap pentingnya pemeriksaan pendengaran bayi sejak lahir.
Turut berlangsung di bilik seminar Az-Zahrah, Bengkel Kenali Autistik. Bengkel ini menarik perhatian ibu bapa yang ingin memahami lebih mendalam mengenai autisme. Bengkel bermula pada pukul 9:30 pagi hingga 12:15 tengah hari dengan beberapa sesi perkongsian penting:
- Dr. Siti Sarah Aishah, Pakar Perunding Kanak-Kanak, membincangkan topik Adakah Anak Saya Seorang Autistik?.
- Puan Sarah Aleesa, Pakar Psikologi Klinikal, memberi pencerahan mengenai Kecelaruan Mental dalam Kanak-Kanak.
Program ini turut menyaksikan sokongan daripada pelbagai rakan kerjasama seperti NIP, AMPAC, dan Zahra Care, sekali gus menjadikan sambutan ini lebih bermakna.
Sambutan ini bukan sahaja bertujuan menceriakan kanak-kanak, tetapi juga mendekatkan komuniti dengan perkhidmatan hospital. Hospital Islam Az-Zahrah terus komited sebagai sebuah hospital mesra ibadah dalam memenuhi keperluan kesihatan masyarakat.