Khatan kaedah baru Solehring

Tahukah anda kaedah berkhatan Solehring yang memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa merupakan hasil inovasi Dr MohamadSalleh iatu doktor Pakar Bedah Az-Zahrah sendiri?

Idea penciptaan alat berkhatan pakai buang itu tercetus pada tahun 2012 apabila beliau yang pernah menjadi doktor khatan mendapati hospital atau klinik yang menyediakan perkhidmatan berkhatan sering menghadapi masalah berkenaan alatannya.

⚜️Mengapa SOLEHRING?⚜️
?SELAMAT
Konsep, reka bentuk dan teknik secara klinikal adalah selamat dan mengurangkan masa prosedur.

?RASA SAKIT MINIMUM
Memandangkan masa yang diambil lebih cepat, kaedah ini mengurangkan rasa sakit yang dialami kanak-kanak.

?ANUGERAH
Solehring telah menerima beberapa anugerah di peringkat antarabangsa antaranya ialah::
-Pingat perak dari PECIPTA 2015 KLCC
-Pingat Perak dari iCAN2016 Toronto, CANADA
-Pingat Emas dari Pesta Penciptaan Genius Antarabangsa Cyber Korea 7th, Chung Mu Art, Centre, Seoul, Korea.

?GRED PERUBATAN
Peranti solehring ini dibuat oleh polycarbonate makrolon 1805 lipid-rintangan FDA diluluskan bahan gred perubatan yang selamat untuk bersentuhan dengan kulit manusia maksimum 30 hari.

?RINGAN
Gabungan reka bentuk dan bahan menjadikan peranti ini nipis dan ringan untuk digunakan. Ini memberi keselesaan tambahan untuk pesakit menggunakan cincin selepas prosedur dan mengurangkan risiko kecederaan penarikan balik.

Klik http://www.solehring.com untuk lebih informasi tentang kaedah solehring

Hospital Islam Az Zahrah menawarkan harga istimewa untuk Pakej Berkhatan Cuti Sekolah

 

Tips Berpuasa Di Bulan Ramadhan

Assalamua’laikum dan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa.

Mari kita amalkan tips-tips berikut untuk mengekalkan badan yang sihat dan cergas walaupun berpuasa.

 

Jom isi senarai semak aktiviti-aktiviti Ramadhan 1439H/2018M.

Helicobacter pylori- Jangkitan boleh membawa kepada kanser gastrik

Anda kerap berjumpa dengan doktor kerana mengalami masalah sakit perut? Sudah cuba pelbagai ubatan moden namun sakit perut masih ada? Dah lama jaga makan, ‘berpuasa’ dari pengambilan makanan pedas dan masam tetapi tidak hilang-hilang juga sakit ini? Jika semua jawapan anda adalah ‘ya’, anda mungkin senasib dengan 50% penduduk dunia yang menghidapi jangkitan Helicobacter pylori. Jom kita kenali apa itu kuman Helicobacter pylori.

 

Apakah itu Helicobacter pylori?

Helicobacter pylori adalah sejenis kuman yang boleh menjangkiti perut manusia. Jangkitan ini biasanya berlaku ketika masih kanak-kanak dan merupakan antara punca utama kepada ulser perut. Kebanyakan daripada kita tidak menyedari tentang jangkitan ini kerana tidak mengalami sebarang simptom. Namun begitu, jika anda sering mengalami masalah sakit ulu hati atau sakit pada bahagian atas perut, maka selalunya doktor akan lakukan ujian untuk mengesan jangkitan ini.

 

Apakah komplikasi jangkitan Helicobacter pylori ini?

Jangkitan penyakit ini boleh menyebabkan ulser perut. Jangkitan kuman ini juga adalah antara risiko penyebab kanser perut.

 

Bagaimanakah cara untuk mengesan jangkitan kuman ini?

Terdapat beberapa cara untuk mengesan jangkitan kuman ini. Antara ujian yang boleh dilakukan adalah melalui biopsi endoskopi. Selain daripada itu, doktor boleh juga menggunakan kaedah urea breath test dan ujian darah. Ujian-ujian ini mempunyai ketepatan dan risiko yang berbeza-beza. Adalah dinasihatkan untuk anda berjumpa dengan doktor anda bagi menentukan ujian yang terbaik untuk anda.

 

Adakah jangkitan Helicobacter pylori ini boleh diubati?

Ya, jangkitan kuman ini boleh diubati melalui penggunaan antibiotik.

 

OGDS – saringan untuk kanser gastrik

Apakah itu OGDS?

OGDS  (oesophagogastroduodenoscopy) adalah prosedur bagi pemeriksaan pada bahagian atas salur pemakanan pesakit. Ini melibatkan pemeriksaan pada bahagian esofagus, perut dan duodenum. Prosedur OGDS ini melibatkan penggunaan kabel gentian optik yang dipasangkan kamera pada hujungnya dan dimasukkan melalui mulut pesakit.

Apakah indikasi untuk seseorang pesakit itu menjalani prosedur OGDS?

Terdapat pelbagai indikasi bagi seseorang pesakit untuk menjalani ujian OGDS:

  1. Sukar/sakit ketika menelan makanan
  2. Saringan kanser
  3. Muntah berdarah
  4. Sakit terutamanya pada bahagian atas perut
  5. Simptom reflux yang berpanjangan

*Sekiranya anda mempunyai mana-mana simptom di atas, maka disarankan untuk berjumpa dengan doktor peribadi anda.

Mengapakah doktor melakukan ujian OGDS untuk simptom-simptom di atas?

Terdapat pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom-simptom di atas. Antaranya adalah:

  1. Kanser
  2. Pendarahan pada bahagian perut
  3. Hiatus Hernia
  4. Ulser pada bahagian perut/duodenum

*Walaupun dengan simptom-simptom di atas, kebanyakan ujian OGDS adalah normal. Maka anda tidak perlu terlalu risau namun harus berjumpa dengan doktor peribadi anda dan tidak membiarkan simptom tersebut berlarutan.

Adakah anda berisiko untuk kanser kolorektal?

Apakah itu kanser kolorektal?

Kanser kolorektal adalah kanser pada bahagian usus besar (kolon) dan rektum, yang merupakan bahagian terakhir pada saluran usus manusia. Kebanyakan kes kanser kolorektal bermula dengan pertumbuhan tisu kecil yang dikenali sebagai polip. Pada kebiasaannya polip ini adalah kecil dan tidak memberi sebarang simptom kepada pesakit. Oleh sebab itu, kebanyakan doktor menasihatkan pesakit terutamanya yang berisiko tinggi untuk menjalani proses saringan sebelum polip tersebut membesar dan bertukar menjadi kanser. Individu berisiko tinggi ini merujuk kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolon.   

 

Berapakah kadar kanser kolorektal di Malaysia

Kanser kolorektal adalah kanser kedua terbanyak bagi lelaki dan yang ketiga terbanyak bagi wanita di Malaysia. Dianggarkan sebanyak lebih kurang 67 ribu kes baru telah dikesan di Semenanjung Malaysia antara tahun 2003 hingga 2005. Di Malaysia, kebanyakan pesakit kanser kolorektal dikesan dengan agak lambat, menyebabkan prognosis pesakit tersebut menjadi lebih teruk berbanding dengan negara maju di Asia. Antara penyebab kepada masalah ini adalah kerana kurangnya kesedaran terhadap kanser ini dan kadar ujian saringan yang agak rendah.

Apakah ujian saringan yang boleh dilakukan bagi mengesan penyakit kanser kolon ini?

Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai sebarang simptom, terdapat dua kaedah yang biasa dilakukan bagi ujian saringan penyakit ini, iaitu menerusi pengesanan darah dalam sampel najis dan pemeriksaan kolonoskopi. Menerusi ujian awal ini, najis pesakit akan diperiksan dan diuji menggunaan satu kaedah khas. Jika keputusannya positif (bermaksud terdapat darah di dalam najis), maka pesakit ini akan dirujuk ke pakar pembedahan untuk prosedur kolonoskopi.

Apakah langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit ini?

Pengambilan makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, diet yang rendah dengan kalori, tidak merokok dan bersenam secara konsisten dapat mengurangkan risiko kanser kolorektal.

 

Kaum lelaki, jangan ambil mudah kanser prostat

Apakah itu kanser prostat?

Kanser prostat adalah ketumbuhan tidak normal yang bermula dalam kelenjar prostat. Di Malaysia, pada tahun 2012, dianggarkan lebih 1 juta lelaki di negara ini menghidap penyakit kanser prostat. Kanser ini boleh membesar dengan perlahan sehingga penghidap tidak mengalami sebarang simptom. Walaubagaimanapun, kanser ini boleh membesar dan jika tidak dirawat dengan lebih awal boleh merebak ke tulang belakang dan menyebabkan sakit belakang dan lumpuh. Kanser prostat selalunya menyerang lelaki berusia lebih 50 tahun. Lebih 80 peratus kanser prostat didiagnosis pada umur 65 tahun dan ke atas.

Apakah simptom kanser prostat?
Antara simptom kanser prostat adalah masalah berkaitan kencing seperti sakit ketika kencing, berasa tidak puas, terlalu kerap, tidak lancar, berdarah dan kerap kencing malam. Namun begitu, simptom-simptom ini boleh juga disebabkan penyakit lain yang lebih kerap berlaku seperti jangkitan kuman atau benign prostatic hyperplasia. Adalah dinasihatkan untuk anda berjumpa dengan doktor anda sekiranya mengalami simptom-simptom di atas.

Apakah ujian saringan yang boleh dilakukan bagi mengesan kanser prostat?

Pada peringkat awal, pesakit berkemungkinan tidak mengalami sebarang simptom. Simptom-simptom ini hanya akan muncul apabila kanser ini sudah sampai ke tahap yang lebih serius. Oleh itu, adalah disarankan untuk setiap lelaki yang berumur lebih 50 tahun untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Antara ujian yang boleh dijalankan dengan mudah adalah ujian darah untuk melihat paras Prostate Specific Antigen (PSA). Sekiranya paras PSA ini tinggi, seseorang pesakit perlu membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan sama ada menghidapi kanser atau tidak. Ujian-ujian ini termasuklah ujian ultrasound, CT scan, MRI scan dan biopsi.

Pemeriksaan kesihatan tahunan dan saringan kanser boleh dilakukan di Hospital Az Zahrah bersama doktor pakar perubatan atau pakar bedah am.

Tahukah anda maksud warna penutup botol air mineral?

2 jenis kod minuman warna penutup botol air minuman yang diterima di Malaysia:

Penutup biru

Diperolehi dari sumber air bawah tanah, dipam naik dan akan menjalani proses menyulingan kemudian dibotolkan. Baru boleh dilabelkan sebagai air mineral .

Penutup Putih

Merupakan air paip yang ditadah kemudian menjalani proses penyulingan. Bahan kimia yang ditambah semasa mejadi air paip sahaja sudah menyebabkan keaslian air itu hilangKos pengeluaran air jenis ini adalah rendah berbanding air mineral yang mana eksplorasi sumbernya sahaja mencecah jutaan ringgit. Sebab itu air penutup putih hanya dilabelkan sebagai air minuman atau drinking water dan harganya pun lebih murah dari air mineral yang berpenutup biru.

Info lain:

Air Suling (Distilled water)

Air suling adalah sejenis air yang ditulenkan atau dibersihkan melalui proses penyulingan berperingkat. Ia adalah air yang telah melalui proses penapisan penyulingan yang ketat dan rapi untuk menghilangkan bukan sahaja bahan cemar, tetapi bahan-bahan mineral semula jadi yang terdapat dalam air. Air ini adalah yang terbaik untuk digunakan untuk seterika stim dan bateri kenderaan tanpa meinggalkan enapan.

Air yang ditapis (Purified Water)

Datang dari pelbagai sumber tetapi telah disucikan ditapis atau dirawat untuk mengeluarkan bahan-bahan kimia atau bahan cemar. Jenis-jenis penulenan termasuk penyulingan, deionization, osmosis songsang, dan penapisan karbon. Seperti air suling, ia mempunyai kebaikan dan keburukan, kelebihan adalah bahawa bahan kimia yang berbahaya telah keluar dinyahkan dari air tersebut dan kelemahan adalah bahan mineral yang berfaedah juga telah dinyah-keluarkan.

Spring Water

Ia adalah dari sumber bawah tanah yang dirawat atau tidak. Kajian yang dilakukan oleh NRDC (Sumber Asli Majlis Pertahanan) di Amerika Syarikat telah menemui bahan cemar di dalam air mineral botol seperti koliform, arsenik dan phthalates. Banyak air botol dilabelkan sebagai air mineral, sedangkan pada hakikatnya ia datang dari sumber perbandaran dan tidak lebih daripada air paip yang telah dirawat. Pastikan baca label dan ketahui punca di mana air mineral (air bawah tanah) tersebut diambil. Jangan tertipu!

Mengantuk lepas makan…
itu tidak NORMAL!

Jam baru sahaja menunjukkan dua petang, namun mata terasa amat berat dan fikiran sudah melayang-layang. Berpuluh kali menguap dan berair mata menahan mengantuk. Gula-gula pedas yang dikemam juga sudah habis cair namun rasa mengantuk tetap berdegil tidak mahu hilang. Akhirnya anda tewas dan tertidur dalam mesyuarat jabatan!

Fuh, memang boleh jatuh reputasi bukan? Lebih bahaya jika rasa tersebut muncul sewaktu anda memandu.

Nak kata tidak cukup tidur juga mustahil kerana anda jenis yang masuk tidur awal!

Situasi ini sebenarnya pernah dialami oleh setiap individu! Lebih-lebih lagi selepas berbuka puasa. Walaupun jumlah makanan yang diambil tetap rasa mengantuk itu datang!

Jadi di mana silapnya?

Pertama sekali ketahuilah rasa mengantuk mahupun letih tersebut sememangnya TIDAK NORMAL!

1)Diet anda iaitu apa yang anda makan amat mempengaruhi rasa tersebut

Makanan yang tinggi kandungan karbohidrat seperti roti, nasi, pasta, biskut, pancake dan segala jenis makanan bertepung akan ditukarkan menjadi glukos bila dicerna.

Bila pengambilan glukos terlebih, insulin akan dilepaskan. Rasa mengantuk disebabkan insulin yang tinggi dan hal ini berlaku terutamanya kepada individu yang mempunyai masalah rintangan insulin.

Organ-organ tertentu dalam tubuh kita memerlukan insulin untuk membantu mereka bekerja. Apabila sel-sel organ-organ mereka mempunyai masalah menggunakan insulin, ia dikenali sebagai rintangan insulin.

Dengan pengambilan karbohidrat yang tinggi, insulin yang tinggi dalam tubuh akan mengurangkan paras gula secara mendadak. Apabila kurang gula sampai di bahagian otak, ia akan menyebabkan rasa letih dan mengantuk.

Pengambilan makanan tinggi karbohidrat bersama soda akan memburukkan lagi keadaan.

 

Kedua disebabkan makanan tersebut tidak mampu dihadamkan dengan sempurna. Secara asasnya, sistem penghadaman akan bekerja ekstra jika makanan yang diambil mempunyai kadar glukosa yang tinggi.

Ataupun ia akan terjadi bila anda makan dalam jumlah yang banyak, jadi tenaga yang diperlukan juga banyak untuk proses pencernaan tersebut.

Semakin banyak makanan yang diambil, semkain sukar pula ia dihadamkan. Hasilnya anda merasa letih, kembung dan sukar untuk fokus.

Jika itu berlaku, pengambilan cuka epal yang ditambah ke dalam makanan atau diambil bersama air suam mampu membantu penghadaman yang lebih optimum.

Bagaimana untuk mengelakkannya?

 

 

Lebihkan protein dan salad dalam hidangan

  1. Untuk mengelakkan rasa mengantuk selepas makan, makanlah secara sederhana. Tidak berlebihan dan terlalu kenyang.
  2. Cuba ubah diet anda yang hari-hari mesti makan nasi campur, nasi beriyani kepada diet rendah karbohidrat.
  3. Ambil protein dan salad untuk hidangan tengah hari.Lihat sahaja popeye walaupun hanya makan salad, namun cukup bertenaga!
  4. Dan paling penting jangan lupa tambahkan lemak baik dalam diet anda kerana kehadiran lemak baik mampu memberi efek kenyang lebih lama dan paling penting “kepuasan” dalam menikmati makanan! Antara sumber lemak baik adalah dari minyak kelapa dara, telur, ikan salmon, kacang seperti walnut, telur dan juga minyak zaitun
  5. Jila tidak puas, masa itu kita akan “merapu” dalam memilih makanan dan akhirnya kita akan memilih pisang goreng dan kuih muih yang berkalori tinggi.

Benarkah makanan yang diletak bawah tudung saji tidak basi?

PERNAHKAH anda terfikir betapa hebatnya bangsa Melayu zaman dulu dengan ilmu sains dan teknologi tersendiri!

Bangkitlah dan sedarlah bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang cerdik dan pernah memberi sumbangan besar kepada tamadun dunia.

Jelas, bangsa Melayu bangsa yang hebat!

Sebagai contoh penghasilan gobek api iaitu sejenis alat yang digunakan untuk menyalakan api di mana fungsinya sama dengan “lighter” atau pemetik api hari ini.

Ketika bangsa Eropah bangga dengan penghasilan mancis yang permukaannya bila digores akan menyalakan api, bangsa Melayu telah pun berjaya mencipta pemetik api yang diperbuat daripada tanduk dengan serbuk putih daripada pokok enau yang bertindak seperti kerosin.

Teknologi ini telah dikuasai oleh bangsa Melayu 600 tahun yang lalu sebelum bangsa Eropah berjaya menghasilkan mancis.

Maknanya saintis Melayu terlebih awal memahamai ilmu kimia, fizik dan biologi.

Malah seorang saintis Jerman dalam artikel beliau menyatakan kekaguman terhadap ciptaan Melayu ini dan menganggap gobek api inilah yg mencetuskan idea untuk Jerman menghasilkan sistem enjin diesel.

Kedatangan pengembara Eropah ke Nusantara pada abad ke 18 menyebabkan mereka terlihat gobek api ini lalu dibawa pulang dan dikaji.

Inovasi penyimpanan makanan!

Bayangkan zaman dulu mana ada peti ais. Namun, nenek moyang kita masih mampu mengekalkan kesegaran makanan secara tradisi dengan mengamalkan penyimpanan makanan di bawah tudung saji.

Sebenarnya, fungsi tudung saji bukan setakat melindungi makanan dari dihinggap lalat, habuk dan sebagainya tapi lebih jauh dari itu.

Tahukah anda, ketinggian dan kelebaran tudung saji memainkan peranan penting untuk memerangkap udara yang boleh mengekalkan keadaan dan suhu makanan, dengan syarat ia diperbuat daripada daun seperti daun pandan ataupun nipah.

Sebelum itu biasanya makanan yang mudah basi akan dibungkus dengan daun pisang kerana daun pisang mengeluarkan kimia semulajadi yang melambatkan proses makanan menjadi basi. Hebat bukan?

Tidak sama efek tudung saji daun dan plastik!

Berbeza dengan zaman kini, kebanyakan tudung saji diperbuat daripada bahan plastik yang tidak memberi efek sama seperti tudung saji yang dianyam menggunakan daun!

Untuk memulai menganyam, waktu yang disarankan sama ada pagi atau malam di mana keadaan lebih sejuk bagi mengelakkan daun meninggalkan kesan pecah.

Ternyata seni ini merupakan karya unik dan rumit.

Namun usaha untuk mempertahankannya harus diteruskan agar tidak hilang ditelan perkembangan zaman.

Jika ramai di kalangan kita yang begitu teruja dengan penapis air, ketahuilah penapis air pula telah wujud sejak abad ke 18 lagi,di mana ia dibuat daripada batu kapur yang mana ia memberikan mineral dan rasa sejuk.

Begitu juga dengan kehebatan labu sayong yang sangat terkenal di Kuala Kangsar sebagai tempat simpanan air.

Tembikar yang bentuk asasnya menyerupai labu itu sungguh berkhasiat. Ia bukan sahaja menjadi tempat penyimpanan air malah, air di dalamnya akan menjadi sejuk secara semula jadi dan mampu mengawal suhu panas dalam tubuh.

10 Perkara yang terjadi apabila kita berlari

Ia adalah percuma bahkan ia suplemen dan terapi paling ajaib buat tubuh. Bahkan menjadi ubat paling murah buat tubuh yang kesakitan! Ia adalah health booster buat semua! Berikut merupakan 10 kelebihan berlari  seperti yang dipetik dari Exercise:The Best Medicine.

Mood dan mental yang baik

Berlari menyebabkan tubuh memproduksi endorfin, hormon yang membuat anda rileks dan riang. Ia membantu mencegah terjadinya depresi, rasa gelisah dan bipolar.

Menguruskan badan

Pembakaran kalori secara purata antara 70 hingga 80 kalori setiap kilometer dan sejam berlari mampu membakar sehingga 800 kalori!

Risiko diabetes turun 40 peratus

Individu yang berlari lima kali seminggu pada kadar 30 minit risiko untuk menghidap diabetes tahap 2 menurun sehingga 40 peratus.

Mencegah osteoporosis

Berlari meningkatkan kepadatan tulang khususnya di bahagian punggung, pinggul, dan kaki hingga mampu menjauhkan osteoporosis. Jisim tulang para pelari ternyata lebih baik berbanding atlet aerobik lain menurut para pengkaji daripada University of Missouri.

Kreatif

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan kepada para pekerja di England mendapati bahawa seseorang yang mengamalkan rutin berlari mampu meminimumkan kesalahan di tempat kerja selain menjadi lebih kreatif, fokus dan berkeyakinan.

Mengawal nafsu makan

Penelitian yang diterbitkan dalam International Journal of Obesity, mengungkapkan berlari menurunkan tingkat hormon ghrelin yang dikatakan merangsang nafsu makan, dan peningkatan kadar laktat darah dan gula darah, yang telah terbukti untuk mengurangkan nafsu makan berbanding olahraga lain.

Meningkatkan koordinasi tubuh

Bila anda mempunyai rutin berlari di medan yang variatif, kemampuan koordinasi tubuh menjadi sangat baik menjadikan anda seorang yang seimbang dan tidak mudak jatuh.

Hindari nyanyuk

Individu  yang berlari 56km seminggu mampu berfikir lebih panjang dan bervisi, berbanding mereka yang berlari hanya 16km seminggu. Journal of American Geriatrics Society melaporkan, seseorang yang rajin berlari seawal usia remaja akan mengurangkan risiko mengidap nyanyuk semasa usia emas.

Melancarkan Pernafasan

Di dalam satu penyelidikan, pengkaji telah menyarankan sejumlah pengidap asma untuk berlari secara rutin. Selepas tiga bulan, didapati pernafasan mereka lebih lancar, bersih dan tidak mengeluarkan bunyi selain imuniti turut meningkat.

Kanser payudara turun 30 peratus

Di kalangan wanita, dikatakan berlari mampu menurunkan risiko kanser payudara sehingga 30 peratus.